Berita

Kemaskini: 24/09/2026 08:47 PM

Sabah Tidak Tergesa-gesa Laksanakan Projek Pasaran Karbon - Ketua Menteri

kredit: FB Arthur Joseph Kurup

KOTA KINABALU, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan negeri Sabah tidak akan membenarkan projek pasaran karbon yang tidak disemak dengan teliti untuk dipasarkan secara tergesa-gesa atau didagangkan berdasarkan spekulasi, walaupun terdapat peluang yang besar dalam sektor itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa kerajaan negeri akan melindungi reputasi dan jenama Sabah melalui disiplin kawal selia yang kukuh.

Beliau berkata projek yang dirangka dengan lemah, tuntutan iklim keterlaluan, sumber dinilai terlalu rendah, serta pengabaian komuniti orang asal akan menjejaskan keyakinan pelabur terhadap kredit karbon Sabah.

"Oleh itu, demi kepentingan komersial Sabah, kita perlu mengekalkan piawaian tertinggi dari segi integriti alam sekitar, sosial, kewangan, dan tadbir urus. Pembeli akan menuntut ketelusan sepenuhnya," katanya pada “Forum Pasaran Karbon Sabah: Membuka Peluang Pasaran Karbon”, di sini hari ini.

 Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun turut menyampaikan ucapannya dalam forum tersebut.

Hajiji berkata undang-undang seperti Perubahan Iklim dan Enakmen Tadbir Urus Karbon Sabah 2025 mengiktiraf secara sah hak milik kerajaan negeri ke atas hak karbon serta menetapkan peraturan yang jelas bagi aktiviti berkaitan karbon, termasuk kelulusan projek dan perdagangan kredit

"Majlis Tindakan Perubahan Iklim Sabah (SCCAC) akan menyelia dasar iklim negeri, menyediakan belanjawan karbon negeri untuk kelulusan menteri dan pewartaan, serta menyelaraskan usaha antara agensi negeri dan persekutuan.

"Pusat Inventori dan Daftar Iklim Sabah akan memberikan sokongan teknikal dan operasi kepada SCCAC. Bersama-sama, rangka kerja ini bertujuan menawarkan pelabur gerbang kawal selia yang telus dan terkoordinasi bagi kelulusan projek serta pendaftaran hak karbon," katanya.

Beliau berkata Sabah mempunyai inisiatif kredit karbon berasaskan alam semula jadi disahkan yang pertama di Malaysia menerusi Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut, meliputi kawasan seluas kira-kira 83,381 hektar hutan tanah rendah dan hutan bukit yang kaya dengan biodiversiti di negeri berkenaan.

Projek itu dijangka mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) sebanyak kira-kira 800,000 tan telah menetapkan penanda aras bagi inisiatif masa depan, BeZero Carbon, agensi penarafan kredit karbon global telah memberikan penarafan terbaik dalam kelasnya kepada projek tersebut.

Ketua Menteri berkata kerajaan negeri juga sedang membangunkan portfolio aset karbon pelbagai merentas sektor ekonomi utama, termasuk ekonomi biru, pertanian, tenaga boleh baharu dan teknologi hijau serta pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Bagi sektor ekonomi biru, Hajiji berkata Sabah memiliki kawasan hutan bakau bersambung yang terbesar di Malaysia, iaitu melebihi 340,000 hektar, Sabah mempunyai potensi besar untuk menjadi peneraju serantau dalam sektor ini menerusi bioteknologi marin, akuakultur mampan, dan pelancongan berasaskan ekosistem marin.

Dalam sektor pertanian, industri kelapa sawit Sabah meliputi kawasan seluas hampir 1.5 juta hektar, sekali gus menawarkan peluang besar bagi inisiatif pemerangkapan metana dan langkah mitigasi iklim lain yang menggunakan sisa pertanian.

Bagi sektor tenaga boleh baharu dan teknologi hijau, kerajaan negeri akan terus memperluaskan penggunaan tenaga solar, hidroelektrik, biojisim, dan biogas bagi menyediakan tenaga boleh dipercayai, mudah diakses, dan berpatutan, berpandukan Pelan Hala Tuju dan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040).

"Sabah menyasarkan untuk meningkatkan bahagian bekalan elektrik daripada sumber boleh baharu menjelang tahun 2030 menerusi projek solar, hidroelektrik, dan biojisim," katanya.

Dalam sektor pemerangkapan dan penyimpanan karbon, Hajiji berkata lembangan geologi luar pesisir Sabah, bersama-sama dengan kawasan sempadan maritimnya, menawarkan potensi jangka panjang untuk penyimpanan karbon secara geologi serta meletakkan Sabah sebagai hab penyimpanan industri penting di peringkat nasional untuk memenuhi keperluan rantau ini.

Hampir 30 peratus daripada keluasan tanah Sabah telah ditetapkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya, yang menyumbang kepada komitmen biodiversiti Malaysia serta sasaran pemuliharaan global 2030 di bawah Rangka Kerja Biodiversiti Global Kunming-Montreal, ia meletakkan negeri ini di kedudukan yang menyerlah dalam peta pemuliharaan global, katanya.

“Sabah juga merupakan penyerap karbon bersih utama Malaysia, atau negeri negatif karbon, berdasarkan data inventori gas rumah hijau. Liputan hutan yang luas memperkukuh kapasiti penyerapan karbon keseluruhan Malaysia sebanyak kira-kira 36 peratus.

“Menerusi pengurusan hutan inklusif, dilaksanakan dengan kerjasama komuniti tempatan, kami berusaha mengimbangi pemuliharaan alam sekitar dengan kesejahteraan sosioekonomi rakyat. Identiti dan masa depan Sabah berakar umbi dalam warisan semula jadi kita,” katanya.

-- BERNAMA