Berita
Enam Perhentian Kereta Api Baharu Sabah Dijangka Beroperasi Oktober Ini
KOTA KINABALU, 22 Ogos (Bernama) -- Enam perhentian kecil kereta api baharu di sepanjang laluan antara Stesen Sembulan dan Kinarut, yang siap dibina awal tahun ini, dijangka mula beroperasi pada Oktober, sekali gus memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kereta api di Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah Datuk Ewon Benedick berkata enam perhentian itu ialah di Lok Kawi, Tombovo, Meruntum, Bukit Vor, Petagas dan Tugu Peringatan Petagas.
“Setakat ini, enam perhentian kecil telah siap dibina dan terdapat beberapa lagi perhentian yang sedang dipertimbangkan untuk dibangunkan.
“Penyediaan perhentian ini akan memberikan lebih banyak pilihan dan kemudahan kepada masyarakat kerana mereka tidak lagi perlu bergantung sepenuhnya kepada stesen utama untuk menggunakan perkhidmatan kereta api,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kemudahan itu membolehkan penduduk yang tinggal berhampiran laluan kereta api menggunakan perhentian yang lebih dekat dengan kawasan kediaman masing-masing bagi meneruskan perjalanan ke pusat bandar.
Ewon berkata penyediaan perhentian berkenaan turut menawarkan alternatif pengangkutan awam kepada rakyat, terutama ketika kos penggunaan kenderaan persendirian, termasuk bahan api, menjadi antara cabaran yang dihadapi pengguna.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menantikan hasil kajian mengenai cadangan memperluas rangkaian perkhidmatan kereta api dari Putatan ke Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), termasuk ke kawasan Pelabuhan Sepanggar.
Ewon berkata peluasan rangkaian kereta api pada masa hadapan bukan sahaja perlu dilihat dari aspek pengangkutan penumpang, malah berpotensi menyokong perkembangan sektor perindustrian dan logistik di Sabah.
Beliau berkata kementeriannya akan terus memberi perhatian kepada usaha memperkasa sistem pengangkutan awam di Sabah kerana sektor itu mempunyai hubungan langsung dengan pembangunan ekonomi, pertumbuhan kawasan bandar, aktiviti perniagaan dan kesejahteraan rakyat.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Analisis Kimia Kaitkan 15 Helaian Kertas Dengan Jurnal "Love And Peace" Zara Qairina
- Inkues Zara Qairina: Empat Jurnal Didapati Tidak Lengkap
- ADUN Pitas, Keluarga Peluk Islam
- Dua Remaja Lelaki Ditemukan Lemas Di Keningau
- Hubungan Kerajaan Persekutuan Dengan Sabah, Sarawak Terus Diperkukuh - PM Anwar