Berita

Kemaskini: 09/08/2026 01:52 PM

KMJG Sabah Tampil Pendekatan Baharu, Berjalan Kaki Santuni Komuniti Setempat

KOTA KINABALU, 9 Ogos (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Sabah tahun ini membawa kelainan apabila peserta menyusuri setiap daerah dengan berjalan kaki bagi mendekati dan menyantuni masyarakat setempat.

Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah Jainisah Mohd Noor berkata pendekatan itu memberi ruang kepada peserta kembara berinteraksi secara lebih dekat dengan masyarakat selain mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

“Kali ini berbeza sedikit pendekatannya, kaedah pelaksanaan Kembara Merdeka Jalur Gemilang tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Kalau dulunya kita menjelajah dengan berbelas kenderaan daripada Kota Kinabalu mengelilingi seluruh negeri Sabah.

“Ia bukan berskala besar konvoi kenderaan, lebih kepada kembara berjalan kaki santuni masyarakat, komuniti setempat sambil kita mengedarkan Jalur Gemilang dan juga bendera negeri Sabah,” katanya kepada pemberita bersempena dengan program KMJG di stesen Petronas di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) di sini hari ini.

Jainisah berkata program berkenaan turut membawa inisiatif ‘Satu Rumah Satu Jalur Gemilang’ menerusi kluster industri dengan pengedaran 200 pelekat magnet Jalur Gemilang serta bendera Sabah untuk kenderaan di stesen minyak berkenaan.

Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Petronas di stesen terpilih, manakala JAPEN turut memperluas pengedaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah menerusi beberapa kluster lain termasuk rumah ibadat, sekolah, pendidikan tinggi, sukan dan keselamatan.

Konvoi KMJG yang memulakan jelajah pada 1 Ogos lepas akan meneruskan pengisian di seluruh daerah di Sabah sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dengan pelbagai program bersama komuniti.

Selain menggalakkan pengibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah, program berkenaan turut menjadi platform menyampaikan mesej kenegaraan serta menyemarakkan semangat patriotisme dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA