Berita
Jenazah Koperal Mohamad Nur Hafiz Selamat Dikebumikan
KOTA BHARU, 8 Ogos (Bernama) -- Allahyarham Koperal Mohamad Nur Hafiz Rahim yang maut dipercayai akibat renjatan elektrik di Beaufort, Sabah, pada Khamis lepas, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pangkal Kuang, Ketereh, di sini, pagi tadi.
Jenazah Mohamad Nur Hafiz, 29, dikebumikan selepas selesai solat jenazah di rumah keluarganya di Kampung Hutan Pasir, di sini.
Kakak sulung Allahyarham Nurlella, 34, berkata keluarganya merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memudahkan urusan membawa pulang jenazah adiknya ke kampung halaman.
“Jenazah tiba pada 4.45 pagi. Saya berterima kasih kepada PDRM yang banyak membantu dan memudahkan urusan adik saya dari awal hingga akhir,” katanya kepada pemberita di tanah perkuburan itu.
Nurlella berkata hubungan mereka lima beradik amat rapat dan sering melakukan panggilan video hampir setiap hari, termasuk menerusi kumpulan WhatsApp keluarga pada waktu lapang selain kerap memberikan komen pada gambar yang dimuat naik di media sosial.
“Walaupun saya tinggal di Ipoh, Perak dan adik di Sabah, kami tetap berhubung melalui panggilan video dan media sosial. Kalau ada masa rehat sekejap pun, dia akan buat panggilan video dengan kami,” katanya.
Nurlella berkata panggilan video terakhir Allahyarham yang bertugas di Balai Polis Weston, Beaufort kepada ibu mereka ialah pada petang Khamis lepas.
“Ketika itu, dia ada cakap penat dan kurang respons tetapi masih sempat senyum. Dia cakap dengan mama tidak apa, nanti sambung sembang semula sebab hendak masuk kerja,” katanya.
Nurlella berkata panggilan video terakhir mereka pula adalah pada Ahad lepas, ketika Allahyarham membawa isteri Fatimah Shahira dan anaknya ke pantai.
Dalam kejadian kira-kira 5.50 petang Khamis, Mohamad Nur Hafiz dan dua lagi anggota Koperal Chiu Teck Siong, 40, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26, maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengalihkan galah besi di luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Weston.
-- BERNAMA
Kata kunci
Berita berkaitan
- Segerakan Pelaksanaan Projek "Low-Hanging Fruits" Demi Manfaat Rakyat - Hajiji
- Dua Projek Naik Taraf Di Kompleks Penyiaran Sabah Dijangka Siap 2028
- Sabah FC Kalahkan Kasuka FC 3-0 Dalam Aksi Persahabatan
- JENDELA Fasa Dua: Sabah Antara Lokasi Percubaan Internet Satelit Terus Ke Telefon - Fahmi
- Semporna: Ekonomi Untuk Rakyat