MCMC dijangka umum proses tender syarikat berminat membida bagi rangkaian kedua 5G dalam masa terdekat - Fahmi | Sambutan Hari Kebangsaan 2024 akan diadakan di Putrajaya, Hari Malaysia di Sabah - Fahmi | Feytech Holdings Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.10 sen | Feytech Holdings Bhd membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada RM1.10 sen | Pemimpin Tertinggi Iran melantik Naib Presiden Mohammad Mokhber sebagai presiden sementara, lapor IRNA. | 

PBS DAN STAR METERAI MOU KERJASAMA, PERKUKUH GRS DALAM PRN SABAH

-- fotoBERNAMA (2024) HAK CIPTA TERPELIHARA.

18/04/2024 09:29 PM

PENAMPANG, 18 April (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang antara lain bertujuan mengukuhkan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Kerjasama strategik itu untuk memastikan GRS akan terus kekal menerajui kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang.

Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang juga Timbalan Ketua Menteri II Sabah berkata kerjasama strategik antara PBS dan STAR mendapat sokongan penuh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS.

"(Kerjasama) ini ialah petanda baik kerana ia menguatkan lagi GRS," katanya ketika berucap sebelum majlis menandatangani MoU itu yang berlangsung di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) di sini hari ini.

MoU itu dimeterai antara Jeffrey dan Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam serta Setiausaha Agung STAR Datuk Edward Linggu dan Setiausaha Agung PBS Datuk Julita Majungki, disaksikan Penasihat Perdana PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beberapa bulan lepas, PBS dan STAR telah melakukan rundingan yang menjadi antara langkah penting dalam landskap politik Sabah termasuk memastikan tiada pertembungan berlaku khususnya antara kedua-dua parti pada PRN Sabah ke-17.

Jeffrey berkata menerusi MoU itu juga, PBS dan STAR bersetuju menubuhkan Majlis Pimpinan Bersama sebagai mekanisme membuat dasar dan keputusan tertinggi, selain kerjasama mengurus serta memberi latihan kepada ahli dan jentera kedua-dua parti.

Selain itu, satu pasukan petugas bersama turut dibentuk untuk mengenal pasti kerusi boleh ditandingi oleh kedua-dua parti pada pilihan raya negeri akan datang, meskipun masih terlalu awal untuk membincangkan mengenai jumlah kerusi.

Sementara itu, Joachim menegaskan kerjasama PBS dan STAR bukan ancaman untuk parti-parti lain dalam GRS, sebaliknya bertujuan menguatkan seterusnya memastikan kejayaan serta kemenangan GRS secara keseluruhannya pada PRN Sabah akan datang.

Joachim berkata kedua-dua parti sedang mengkaji kemungkinan kerusi yang akan ditandingi pada PRN Sabah ke-17 dengan perbincangan akan turut dijalankan dengan parti-parti lain dalam GRS.

Bagaimanapun, Joachim berkata 13 kerusi yang dimiliki PBS dan STAR pada masa ini dianggap sebagai kerusi tetap untuk ditandingi oleh kedua-dua parti pada PRN nanti dan tidak boleh dirunding.

Pada PRN Sabah ke-16, STAR dan PBS masing-masing mempunyai enam dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Parti komponen GRS terdiri daripada Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), PBS, STAR, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

-- BERNAMA