Susulan situasi terkini di rantau Timur Tengah kerajaan sedang memantau rapat perkembangan tersebut dan juga kedudukan pasaran kewangan, termasuk potensi dampak ke atas Malaysia, - PM Anwar | Kerajaan akan bertindak dengan bijaksana bagi memperkukuh kestabilan ekonomi dan kewangan negara - PM Anwar | Konflik Iran-Israel: Semua pihak harus main peranan pastikan ketegangan di Timur Tengah tidak terus memuncak demi kepentingan, keamanan sejagat - Anwar  | Konflik Iran-Israel : TH teruskan persiapan bagi musim Haji 2024 seperti yang dirancang - Mohd Na'im | Jangan lihat segala-galanya dari sudut kaum semata-mata, kerajaan akan bekerja keras bagi menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh komuniti India - PM Anwar | 

PRN SABAH: KEPUTUSAN KERJASAMA BN DIPUTUSKAN IBU PEJABAT - MOHAMAD

Datuk Seri Mohamad Hasan

24/03/2024 04:20 PM

REMBAU, 24 Mac (Bernama) -- Keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) bertanding secara sendirian atau bekerjasama dengan parti lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan diputuskan di peringkat pusat, kata Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata setakat ini tiada sebarang keputusan mengenai perkara itu dibuat dan BN Sabah perlu mengemukakan cadangan kepada kepimpinan pusat jika mahu bekerjasama dengan mana-mana parti politik.

“Walaupun UMNO Sabah ada autonomi mentadbir tetapi dalam soal pilihan raya, ia perlu mendapat kelulusan daripada ibu pejabat. Ibu pejabat yang akan menentukan hala tuju parti BN.

“Kalau misalnya (kerjasama) dengan parti A kita (BN) boleh menang, jadi dengan parti itulah atau bersendirian rasa dah kuat, boleh juga bersendirian tetapi BN Sabah mesti mendapat nasihat dan kata putus dari ibu pejabat," katanya.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Ramadan kepada penerima bantuan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Siliau di sini hari ini.

Semalam, Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilaporkan berkata parti itu dan UMNO Sabah telah mengadakan perbincangan berhubung kemungkinan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRN Sabah akan datang.

-- BERNAMA