Liga Super: Sri Pahang FC 3-2 Kuching City FC | Liga Super: KL City FC 0-1 Kedah Darul Aman FC | Sukan Asia: Pelari pecut sensasi Malaysia Muhammad Azeem Mohd Fahmi raih pingat gangsa dalam 100m lelaki. | PM Anwar beri jaminan Belanjawan 2024 akan beri pemusatan bagi industri pelancongan negara termasuk pemerkasaan seni, budaya | Selain kekuatan ekonomi, negara dan masyarakat perlukan pemerkasaan seni serta budaya bagi kebangkitan Asia - PM Anwar | 

UMNO KUMPUL DAPATAN PASCANILAI PRN

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media pada Program Debat Perdana MADANI 2023 di Dewan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

21/08/2023 04:02 PM

BANGI, 21 Ogos (Bernama) -- Umno sedang mengumpul kesemua dapatan daripada pascanilai bagi mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan kerusi ditandingi parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri 12 Ogos lepas.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata buat masa ini, pascanilai sedang dilaksanakan di peringkat negeri dan sayap parti itu.

“Saya percaya setiap negeri dan sayap sedang melakukan perkara itu sebelum kita kumpulkan (dapatan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan edisi sulung Debat Perdana MADANI 2023 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai status pascanilai parti selepas PRN.

UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN di enam negeri itu. 

BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan serta gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

Minggu lepas, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi dilaporkan berkata UMNO akan mengadakan pascanilai bagi mencari kelemahan parti selain menjelaskan terdapat banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN itu.

-- BERNAMA