Liga Super: Sri Pahang FC 3-2 Kuching City FC | Liga Super: KL City FC 0-1 Kedah Darul Aman FC | Sukan Asia: Pelari pecut sensasi Malaysia Muhammad Azeem Mohd Fahmi raih pingat gangsa dalam 100m lelaki. | PM Anwar beri jaminan Belanjawan 2024 akan beri pemusatan bagi industri pelancongan negara termasuk pemerkasaan seni, budaya | Selain kekuatan ekonomi, negara dan masyarakat perlukan pemerkasaan seni serta budaya bagi kebangkitan Asia - PM Anwar | 

10 AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN SELANGOR ANGKAT SUMPAH

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (duduk, tengah) bergambar bersama Anggota Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Dan Ikrar Aku Janji Serta Pengurniaan Watikah Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor Dan Yang Berhormat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor di Istana Alam Shah, hari ini. Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

21/08/2023 05:41 PM

KLANG, 21 Ogos (Bernama) -- Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri Selangor bagi penggal ke-15 mengangkat sumpah di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan itu bermula 2.30 petang di Istana Alam Shah, di sini.

Seramai tujuh Exco adalah muka baharu manakala tiga lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik kembali ke jawatan itu.

Tujuh Exco baharu itu adalah bekas Speaker DUN yang juga ADUN Sekinchan Ng Suee Lim; ADUN Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail; ADUN Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi dan ADUN Bandar Utama Jamaliah Jamaludin.

Selain itu, turut dilantik ADUN Banting V. Papparaidu; ADUN Seri Setia Dr Mohammad Fahmi Ngah dan ADUN Taman Templer Anfaal Saari. 

Tiga Exco yang dilantik kembali adalah ADUN Kinrara Ng Sze Han; ADUN Pandan Indah Izham Hashim dan ADUN Tanjong Sepat Borhan Aman Shah. 

Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos lepas menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) memenangi 34 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 22 kerusi.

Terdahulu, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor telah dilaksanakan pagi tadi yang menyaksikan Datuk Seri Amirudin Shari kekal memegang jawatan itu bagi penggal kedua.

-- BERNAMA