Liga Super: Sri Pahang FC 3-2 Kuching City FC | Liga Super: KL City FC 0-1 Kedah Darul Aman FC | Sukan Asia: Pelari pecut sensasi Malaysia Muhammad Azeem Mohd Fahmi raih pingat gangsa dalam 100m lelaki. | PM Anwar beri jaminan Belanjawan 2024 akan beri pemusatan bagi industri pelancongan negara termasuk pemerkasaan seni, budaya | Selain kekuatan ekonomi, negara dan masyarakat perlukan pemerkasaan seni serta budaya bagi kebangkitan Asia - PM Anwar | 

LUQMAN KOSONGKAN JAWATAN KETUA PENERANGAN MUDA

Twitter luqmanlong

19/08/2023 06:42 PM

KUALA TERENGGANU, 19 Ogos (Bernama) -- Luqman Long mengesahkan yang beliau telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), pada mesyuarat parti itu semalam.

Melalui ciapan di akaun X (Twitter) hari ini, Luqman berkata keputusan tersebut selaras dengan ikrarnya untuk melepaskan jawatan, sekiranya gagal mendapatkan semula deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu, 12 Ogos lepas.

“Saya telah mengosongkan jawatan Ketua Penerangan MUDA pada mesyuarat parti semalam. Ini selaras dengan ikrar saya sendiri,” katanya.

Luqman yang bersaing tiga penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar hilang deposit selepas hanya meraih 372 undi, sementara Ahmad Shah Muhamed dari Perikatan Nasional (PN) memperoleh 8,438 undi manakala Armi Irzan Mohd (Barisan Nasional) mendapat 6,074 undi.

-- BERNAMA