Berita

Kemaskini: 29/10/2026 08:00 PM

Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia Pada 1 Dan 2 Nov Ini

Tan Sri Johari Abdul

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Pilihan Raya Parlimen Belia Malaysia (PBMy) 2026 akan berlangsung pada 1 dan 2 Nov ini, menyaksikan sebanyak 1,689 calon daripada 12 parti bertanding bagi merebut 222 kerusi di seluruh negara.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul berkata pilihan raya itu akan menggunakan Sistem Perwakilan Berkadar dengan proses pengundian dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi ePBMy.

Beliau yang juga Penaung PBMy berkata pendekatan itu memberi peluang kepada golongan belia memahami kaedah perwakilan yang berbeza, selain memanfaatkan teknologi digital bagi memudahkan penyertaan dalam proses demokrasi.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua belia warganegara Malaysia yang berumur antara 18 hingga 30 tahun yang telah mendaftar sebagai pemilih melalui aplikasi ePBMy sebelum 28 Okt 2026 untuk mengambil bahagian dalam proses pengundian pada 1 hingga 2 Nov 2026,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Johari berkata penganjuran pilihan raya berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh kefahaman dan penghayatan generasi muda terhadap amalan demokrasi berparlimen.

Beliau berkata penyertaan 1,689 calon itu memperlihatkan minat dan kesediaan golongan belia untuk melibatkan diri secara aktif dalam proses demokrasi serta menyumbang idea dan pandangan terhadap isu berkaitan masa depan negara.

Katanya, PBMy bukan sekadar medan pertandingan untuk memilih perwakilan belia, sebaliknya platform pendidikan demokrasi yang memberikan pendedahan secara langsung kepada proses pilihan raya, sistem perwakilan, perbahasan dasar dan tanggungjawab kepimpinan.

“Melalui pengalaman ini, saya berharap generasi muda dapat memahami bahawa demokrasi bukan hanya mengenai kemenangan dalam pilihan raya, tetapi turut menuntut kematangan, integriti, sikap saling menghormati dan kesediaan untuk menerima perbezaan pandangan,” katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata PBMy perlu terus dipelihara sebagai platform pendidikan demokrasi yang bukan partisan, bebas daripada pengaruh politik kepartian sebenar serta terbuka kepada penyertaan belia daripada pelbagai latar belakang.

Beliau berharap inisiatif itu dapat melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berilmu, berprinsip dan memahami tanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.

-- BERNAMA