Berita

Kemaskini: 20/10/2026 08:15 PM

Jerebu: Operasi Pembenihan Awan Di Johor Tumpu Dua Kawasan Utama

JOHOR BAHRU, 20 Okt (Bernama) -- Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Johor hari ini memberikan tumpuan khusus kepada dua kawasan utama, iaitu Yong Peng, Batu Pahat ke Machap, Kluang serta Mersing hingga Kota Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata operasi itu bertujuan merangsang pembentukan hujan, sekali gus membantu mengurangkan kepekatan partikel jerebu di udara.

Beliau berkata operasi menggunakan pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Subang, Selangor, itu membawa lapan tan natrium klorida (garam) sebagai bahan pembenihan awan.

"Hari ini saya berpeluang menyertai sendiri operasi bersama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan No 20 Skuadron daripada TUDM, yang turut dikenali sebagai 'The Rainmaker' dalam usaha menangani masalah jerebu," katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ling berkata pengalaman menyertai sendiri penerbangan itu memberikan peluang untuk melihat dengan lebih dekat kecekapan, kepakaran dan komitmen anggota TUDM serta MetMalaysia dalam melaksanakan operasi yang memerlukan perancangan teliti, penyelarasan antara agensi serta keadaan cuaca yang bersesuaian.

Beliau berkata kerajaan negeri memandang serius isu jerebu yang boleh menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam serta kesejahteraan rakyat, justeru kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi Persekutuan bagi menangani keadaan itu.

"Setinggi-tinggi penghargaan kepada METMalaysia, NADMA, CAAM serta seluruh anggota No 20 Skuadron TUDM atas kerjasama, komitmen dan dedikasi dalam merancang, menyelaras serta menjayakan misi ke-61 ini," katanya.

Tujuh kawasan di Johor mencatatkan Indeks Pencemar Udara (IPU) tidak sihat dengan Larkin merekodkan bacaan tertinggi 159 setakat 4 petang tadi.

-- BERNAMA