Berita
Jambatan Sungai Johor Selamat Dilalui Selepas Kapal Hanyut Langgar Struktur
KOTA TINGGI, 2 Sept (Bernama) --Jambatan Sungai Johor di Telok Sengat di sini selamat dilalui semua pengguna jalan raya, menurut Senai-Desaru Expressway Berhad (SDEB).
SDEB dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil tindakan segera dengan menjalankan pemeriksaan dan penilaian terhadap keadaan struktur jambatan itu susulan insiden sebuah kapal hanyut dan melanggar struktur jambatan berkenaan kira-kira 2.30 petang tadi.
"Hasil pemeriksaan oleh pasukan teknikal mendapati struktur jambatan berada dalam keadaan selamat dan boleh dilalui seperti biasa. Kapal terbabit juga telah dialihkan pada 3.16 petang tadi," menurut kenyataan itu.
SDEB memaklumkan pihaknya sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan akan terus memantau keadaan struktur jambatan berkenaan dari semasa ke semasa bagi menjamin keselamatan pengguna lebuh raya.
"Bagaimanapun, pengguna dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya dan mengikuti sebarang arahan keselamatan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, beberapa foto kejadian itu tular di laman Facebook, dengan dakwaan jambatan berkenaan tidak selamat dilalui dan ditutup sementara, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna lebuh raya berkenaan.
-- BERNAMA
Berita berkaitan
- Agong Saksikan Perlawanan Separuh Akhir Pertama Polo Super Crown Johor 2026
- JS-SEZ: Penyelarasan Peraturan, ‘Jendela Tunggal’ Penting Lancarkan Perdagangan
- SPR Kekal Komited Urus Pilihan Raya Secara Adil, Telus Dan Berintegriti
- Johor Rekod Hampir 10,000 Kes Denggi Setakat Ogos Tahun Ini
- JSCPT 2026 : Tunku Mahkota Ismail Muncul Wira, Royal Johor Benam Temasek 11-7