Industri pelancongan Melaka kembali pulih - Sulaiman

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Industri pelancongan di Melaka kembali pulih dan menunjukkan perkembangan positif sehingga mampu menarik pelabur dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata justeru, usaha intensif diperlukan dalam mempromosi aktiviti pelancongan negeri sebagai destinasi utama pelancong tempatan dan antarabangsa sejajar dengan hasrat kerajaan  negeri untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan yang mampu menggamit dunia seperti terkandung di dalam Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya 2035 (PSMJ2035).

Katanya RIUH NAU! dengan kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) serta kerajaan negeri merupakan antara inisiatif yang memberi peluang kepada pemain industri kreatif di Melaka untuk menonjolkan identiti budaya, adat dan tradisi di negeri ini.

"Sesungguhnya warga Negeri Melaka sangat teruja dengan kehadiran program RIUH NAU! yang berlangsung selama tiga hari, di lokasi tarikan pelancong yang saya kira amat sesuai bersempena Bulan Kebangsaan untuk memperagakan segala kesenian, kebudayaan dan dunia kreatif kebanggaan negeri Melaka.

Ia juga selaras dengan hasrat kerajaan negeri yang mahu lebih banyak warisan budayanya ditonjolkan bukan sahaja kepada dunia luar tetapi juga kepada rakyat kita sendiri yang masih belum mengenalinya," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kembara RIUH Keluarga Malaysia Edisi Ketiga: RIUH NAU! di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir di sini malam ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM) Tan Sri Annuar Musa, Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Setiausaha K-KOMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Sulaiman berkata pelbagai program menarik telah dirancang sepanjang karnival tiga hari yang bertujuan memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat secara langsung produk kreatif tempatan, menikmati aneka jualan makanan dan minuman, persembahan kebudayaan, pameran seni visual dan menghadiri bengkel kreatif yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Beliau berkata Melaka kaya dengan pelbagai warisan budaya yang memiliki nilai estetika yang tinggi terutamanya daripada aspek seni muzik seperti Dondang Sayang, Joget, Nazam, Zapin, Rebana Keras dan warisan budaya ketara dan tidak ketara sememangnya menjadi daya tarikan ekonomi dan perlu dilindungi sewajarnya.

"Budaya yang dibawa melalui seni warisan ini sebenarnya paksi identiti, jati diri dan kekuatan sesebuah negara. Bukan itu sahaja, budaya kita juga mementingkan adab dan budi pekerti yang disanjung tinggi oleh semua masyarakat.

Justeru itu, kita memerlukan generasi baharu yang gigih memperkasa adab, adat dan budaya yang dapat membina masyarakat muhibah dalam dunia serba moden, tanpa mengorbankan identiti seni dan budaya di negara kita ini," katanya.

-- BERNAMA