Sariha Mohd Ali

Persatuan Wartawan Malaysia angkat martabat wartawan - PERTAMA 

MELAKA, 29 Mei (Bernama) -- Penubuhan Persatuan Wartawan Malaysia (PWM)  yang dicadangkan kerajaan dapat mengangkat martabat wartawan sebagai kerjaya profesional yang dihormati semua pihak, kata Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA) Sariha Mohd Ali.

Beliau berkata PWM bukan sahaja berfungsi sebagai payung untuk semua wartawan malah dapat memperkukuh jaringan antara semua agensi media, sekali gus merapatkan hubungan pengamal media yang terbabit dalam industri ini.

“Sudah tiba masanya semua pengamal media diletakkan di bawah satu persatuan yang dapat menjaga kepentingan dan kebajikan ahlinya.

“Apabila direalisasikan kelak, kerjaya kewartawanan akan membawa dimensi baharu sejajar perubahan negara ke arah industri revolusi 4 (IR4.0),” katanya.

Sariha berkata demikian sebagai menyokong cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penubuhan PWM ketika berucap pada majlis kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di sini hari ini.

Perdana Menteri semasa merasmikan HAWANA berkata sudah tiba masa golongan wartawan bersatu di bawah naungan sebuah persatuan khusus yang mewakili media cetak, media elektronik dan media Internet di Malaysia bagi memastikan etika kewartawanan dipelihara. 

Sariha berkata justeru itu, semua persatuan wartawan sedia ada perlu menyokong dan bekerjasama bagi merealisasikan penubuhan PWM.

Katanya masih ramai wartawan yang belum menjadi ahli mana-mana persatuan, menyebabkan mereka tidak mempunyai saluran atau wakil untuk mengetengahkan isu-isu yang dihadapi.

“Kita mahu semua pihak menghormati kerjaya kewartawanan sama seperti kerjaya profesional yang lain.

“Selama ini tidak dinafikan pandangan negatif sesetengah pihak dilemparkan kepada wartawan akibat ketidakfahaman terhadap tugas yang mereka lakukan,” kata Sariha, yang juga Pengarang Berita Harian.

Beliau berkata PWM juga dapat memainkan peranan dalam memastikan etika kewartawanan sentiasa diamalkan. 

Sementara itu, mengulas cadangan perdana menteri berhubung penubuhan Pusat Kajian Kewartawanan Malaysia, Sariha berkata selain dapat mengumpul maklumat mengenai wartawan serta pengamal media di seluruh negara, ia boleh dijadikan pusat rujukan bagi bidang kewartawanan.

-- BERNAMA