Mangsa banjir di Johor terus meningkat, cecah 5,000

Jalan Jabi-Bukit Tempurung mula dinaiki air berikutan hujan lebat berterusan.

25/01/2023 10:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatat peningkatan diikuti Sabah dan Pahang susulan hujan lebat berterusan, setakat malam ini.

Di JOHOR, Pontian menjadi daerah ketujuh dilanda banjir selepas Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing, Batu Pahat dan Muar dengan jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan ke 51 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 10 malam ini meningkat kepada 5,000 berbanding 4,368 orang petang tadi.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Segamat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 1,784 orang daripada 501 keluarga, diikuti Kluang 1,239 orang (358 keluarga) dan Mersing 851 orang (258 keluarga).

Jalan Nitar Timur-Pengkalan Batu berhampiran Kampung Jemari, Mersing ditutup untuk kenderaan ringan dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja. fb JKR Mersing | Foto: Nur Faradilla Mohamad

"Di Kota Tinggi pula, jumlah mangsa yang dipindahkan adalah seramai 706 orang daripada 169 keluarga, Muar 206 orang (46 keluarga), Batu Pahat 196 orang (54 keluarga) manakala Pontian 18 orang (empat keluarga)," menurut kenyataan itu malam ini.

Sementara itu, lima sungai di negeri itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Muar (di Muara Sungai Gemas) menunjukkan bacaan 19.25 meter (m), Sungai Segamat (9.23m), Sungai Segamat (di Segamat Kecil) (37.56m), Sungai Kahang (di Kampung Contoh) (16.12m) dan Sungai Pontian Besar (11.16m).

Di SABAH, jumlah mangsa banjir naik mendadak kepada 1,421 orang daripada 495 keluarga dipindahkan ke 17 PPS di empat daerah berbanding 607 orang daripada 139 keluarga petang tadi.

Menurut Sekretariat JPBN Sabah, tiga daerah menunjukkan peningkatan mendadak iaitu Kota Marudu seramai 806 orang (356 keluarga), Kudat 381 orang (77 keluarga) dan Paitan 155 orang (44 keluarga). 

Sementara itu, di Pitas jumlah mangsa kekal 79 orang daripada 21 keluarga yang berlindung di tiga PPS.

Di PAHANG, mangsa banjir di daerah Rompin meningkat kepada 138 orang daripada 42 keluarga berbanding 97 orang daripada 28 keluarga petang tadi. 

Sekretariat JPBN memaklumkan seramai 91 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Setajam, PPS Balai Raya Bukit Lepas dihuni 40 orang daripada 11 keluarga manakala tujuh orang daripada dua keluarga pula berlindung di PPS Balai Raya Bandar Perwira Jaya.

-- BERNAMA