Johor umum insentif khas 'Bantuan Kasih Bangsa Johor' libatkan peruntukan RM144.36 juta

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (empat, kiri) pada sidang media Pengumuman Khas Bantuan Kasih Bangsa Johor di Bangunan Dato€™ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar hari ini.

14/04/2022 02:38 PM

ISKANDAR PUTERI, 14 April (Bernama) -- Kerajaan negeri hari ini mengumumkan insentif khas ‘Bantuan Kasih Bangsa Johor’ merangkumi 28 inisiatif melibatkan peruntukan RM144.36 juta, sebagai tanda penghargaan dan kasih kerajaan negeri kepada semua rakyat Johor.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisitiaf-inisiatif itu bakal memanfaatkan 3.69 juta rakyat negeri itu.

Beliau berkata kerajaan negeri menyedari, rakyat kini sedang menyesuaikan diri dengan kehidupan dalam norma baharu, terutama dengan aktiviti ekonomi sudah mulai rancak selepas sempadan Johor-Singapura mula dibuka minggu lalu.

“Meskipun begitu, kerajaan negeri Johor sedar dan insaf bahawa masih ramai yang masih memerlukan bantuan dan sokongan.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri akan sentiasa berusaha untuk menyantuni dan membantu setiap lapisan Bangsa Johor,” kata beliau dalam sidang media khas di Bangunan Dato' Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Onn Hafiz berkata justeru, insentif khas itu dibuat dengan niat kerajaan negeri mahu berkongsi rezeki dengan Bangsa Johor tidak mengira bangsa, agama, keturunan, darjat mahupun latar belakang.

Penyerahan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ), yang merangkumi lima kategori iaitu kemasyarakatan, kebajikan, orang muda Johor, pendidikan dan ekonomi, akan dilakukan secara berperingkat dalam masa terdekat. 

“Insya-Allah, ramai rakyat Johor yang akan menerima bantuan ini menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Disebabkan faktor masa, ada juga yang akan menerima bantuan sejurus selepas hari raya. Apa pun, kerajaan negeri akan segerakan bantuan-bantuan ini.

“Saya dan barisan Exco berharap sumbangan ini mampu memberi sedikit kelegaan dan keceriaan kepada semua Bangsa Johor. Kebajikan, kesejahteraan serta kemakmuran rakyat dan negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri Johor,” tambah beliau.

Antara yang diumum termasuk bantuan khas Aidilfitri iaitu sebanyak RM400 kepada golongan fakir dan RM300 kepada golongan miskin.

“Sebanyak 85,800 golongan fakir miskin akan menerima manfaat daripada inisiatif ini, melibatkan dana sebanyak RM14.2 juta,” katanya.

Onn Hafiz berkata, selain itu, bantuan juga akan diberikan kepada anak-anak yang menjadi yatim kerana kehilangan ibubapa akibat COVID-19, melibatkan 1,825 penerima dengan peruntukan RM3 juta.

“Selain itu, pengecualian sewa rumah program perumahan rakyat (PPR) bagi tahun 2022 kepada 11,511 penyewa, yang melibatkan dana sebanyak RM 22.25 juta.

“Bagi Rumah Sewa Kerajaan pula, pengecualian sewa rumah kerajaan diberikan bagi tahun 2022 kepada 3,020 penyewa, yang melibatkan dana sebanyak RM3.95 juta,” katanya.

Menteri Besar turut mengumumkan bantuan RM300 kepada 11,790 pekerja ekonomi gig, pemandu teksi, e-hailing, penghantar makanan; 2,400 pemandu bas awam dan bas ekspres; dan 11,267 nelayan berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Turut diteruskan ialah pengecualian bayaran sewa premis dan gerai milik pihak berkuasa tempatan selama 12 bulan, melibatkan dana sebanyak RM26.18 juta dan bakal memberi manfaat kepada 50,830 penerima.

Bagi merancakkan sektor pelancongan, bantuan RM2,000 bakal diberikan kepada 98 operator hotel bajet dan 98 agensi pelancongan, manakala bantuan RM1,000 untuk 635 pemandu pelancong, 386 pengusaha homestay dan 82 pengusaha bot pelancongan.

-- BERNAMA