Pejuang kekal dalam arena politik meskipun kalah dalam PRN Johor

Tun Dr Mahathir Mohamad

19/03/2022 12:12 AM

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan meneruskan perjuangan dalam arena politik Malaysia meskipun mengalami kekalahan teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, kata Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Akur dengan kekalahan Pejuang di kesemua 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi dalam PRN Johor itu serta hilang semua deposit, Dr Mahathir berkata Majlis Eksekutif dan biro politik Pejuang bagaimanapun sebulat suara tekad untuk meneruskan perjuangan dalam arena politik negara.

Barisan Nasional (BN) menang besar dalam PRN Johor pada 12 Mac apabila menawan 40 daripada 56 kerusi DUN Johor yang ditandingi. Pakatan Harapan pula menang 11 kerusi, Perikatan Nasional (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan PKR masing-masing satu kerusi.

Dr Mahathir dalam sidang media di sini hari ini berkata Pejuang akan terus memperjuangkan isu keperluan rakyat khususnya orang Melayu dan negara amnya.

“Kita (Pejuang) sebelum ini banyak tumpu untuk banteras rasuah sehingga kurang menekankan mengenai masalah dihadapi oleh rakyat seperti pengangguran dan tidak cukup makan.

“Perkara seperti ini tidak diberi penekanan oleh Pejuang sehingga menyebabkan pengundi tidak tertarik kepada parti ini,” katanya dan menambah Pejuang akan terus memperbaiki perkara tersebut.

Ditanya adakah akan wujud gabungan parti pembangkang bagi menentang BN dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bekas perdana menteri itu berkata terdapat kemungkinan perkara itu akan berlaku.

“Ada kemungkinan...cadangan ada disuarakan beberapa parti pembangkang supaya tidak berpecah, berpecah ini hanya menyebabkan kita kalah. Cadangan ini (pembangkang bergabung) perlu dikaji secara mendalam,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berpendapat PRU15 wajar diadakan apabila rakyat benar-benar bersedia bagi membolehkan mereka menjalankan tanggungjawab dengan baik.

-- BERNAMA