Tunai manifesto PRN Johor lebih penting - Guan Eng

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (kiri)

18/03/2022 02:47 PM

KULAI, 18 Mac (Bernama) -- Menunaikan janji-janji dalam manifesto yang telah diumumkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, harus menjadi perkara utama yang perlu diambil perhatian.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pelantikan orang muda iaitu Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai Menteri Besar Johor seharusnya tidak menjadi masalah, kerana manifesto merupakan keutamaan yang harus ditunaikan.

“Usia bukan jadi penghalang, tetapi tunaikan janji itu yang paling utama. Adakah beliau (Onn Hafiz) akan meneruskan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat, sungguh pun ketika itu dia bukan jadi calon?

“Saya rasa itu lebih penting. Jadi, wakil rakyat kita akan memastikan bahawa janji-janji itu ditunaikan khususnya peruntukan RM200,000 kepada setiap kawasan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Sementara itu, Guan Eng berkata wakil rakyat DAP yang menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memainkan peranan semak dan imbang, sekali gus memastikan suara rakyat didengari.

“Wakil rakyat DAP juga akan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengundi di kawasan mereka.

“Meskipun ada juga calon DAP yang kalah, mereka akan terus beri komitmen dan perkhidmatan dalam kawasan mereka. Saya rasa perkara ini sangat positif, kerana menunjukkan sama ada kita menang atau kalah, calon DAP bersama Pakatan Harapan (PH) tidak putus asa dan terus berkhidmat,” kata beliau.

Pada PRN Johor, Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi DUN diikuti Pakatan Harapan (11), PN (tiga), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (satu) dan PKR (satu).

-- BERNAMA