Hasni cadang BN pilih orang muda pimpin Johor

Datuk Hasni Mohammad

14/03/2022 08:17 PM

JOHOR BAHRU, 14 Mac (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Hasni Mohammad mencadangkan pucuk pimpinan parti agar memilih orang muda untuk memimpin Johor, setelah melihat sokongan dan kedudukan orang muda yang penting dalam pembangunan negeri.

Beliau berkata langkah itu juga demi memastikan kemakmuran negeri berpanjangan.

Dalam satu kenyataan lewat petang ini, beliau berkata kerajaan negeri di bawah pimpinannya telah berikhtiar sebaik mungkin untuk menjadikan negeri Johor berdaya tahan dalam mendepani cabaran-cabaran pandemik COVID-19.

“Insya-Allah di bawah kepimpinan baharu, negeri Johor akan menjadi lebih makmur dan sejahtera.

“Seperti yang saya ucapkan pada malam kemenangan BN Johor tempoh hari, tiada ideologi politik, ahli politik dan parti politik yang lebih besar, lebih penting dan lebih utama daripada Johor Darul Ta’zim.

“Kini merupakan masa untuk kita bersama-sama membina Johor yang lebih makmur,” kata bekas Menteri Besar itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor itu turut menzahirkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada semua ahli dan jentera komponen BN yang telah bertungkus lumus berkempen bagi memenangkan calon dan parti.

Hasni berkata kejayaan BN memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan adalah berkat kerjasama dan kerja keras semua pihak dalam menarik sokongan rakyat Johor.

“Tahniah kepada semua calon yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi masing-masing, sama ada daripada Barisan Nasional (BN), mahupun daripada parti-parti lain termasuk calon Bebas. 

“Saya menghargai keprihatinan dan kepercayaan parti sepanjang menjayakan Pilihan Raya Negeri Johor ke-15, sehingga membawa kepada kemenangan besar BN di Johor,” kata beliau.

Pada pilihan raya negeri Sabtu lepas, BN memenangi 40 kerusi, Pakatan Harapan (11), PKR (satu), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mendapat satu kerusi dan Perikatan Nasional memperoleh tiga kerusi.  

Terdahulu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadap Sultan Johor berhubung pelantikan Menteri Besar Johor yang ke-19.

Pada 4 Mac, Ahmad Zahid semasa berkempen di Kota Tinggi, berkata BN telah memilih Hasni sebagai Menteri Besar Johor dan akan meminta perkenan Sultan Johor untuk melantik Hasni sejurus BN memenangi pilihan raya.

Presiden UMNO itu berkata pemilihan Hasni berdasarkan prestasi beliau yang amat memberangsangkan dan memacu kemajuan kepada Johor dalam masa yang singkat.

Hasni dilantik sebagai Menteri Besar ke-18 pada 28 Feb 2020.

Beliau merupakan Menteri Besar yang ketiga dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-18 pada 2018 selepas Allahyarham Datuk Osman Sapian dan Datuk Dr Sahruddin Jamal.

-- BERNAMA