Berita
- Utama
- Berita
RIUH EK! : Insiden tak patuh SOP berlaku spontan, bukan atur cara - MyCV
KUALA LUMPUR, 7 Mac -- Insiden berhubung video tular pada program ‘RIUH EK!’, di Ayer Hitam, Johor yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam, berlaku secara spontan oleh pengunjung.
MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCV) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia bukanlah sebahagian daripada atur cara pihak penganjur.
“Pihak penganjur bersama pasukan Rela telah mengambil tindakan segera dengan meleraikan dan meminta pengunjung beredar dengan serta-merta, dan insiden tersebut juga berlaku selepas majlis telah berakhir, dengan Menteri KKMM (Tan Sri Annuar Musa) telah pun meninggalkan majlis,” menurut kenyataan itu.
MyCV memaklumkan sebagai agensi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang dipertanggungjawabkan ke atas program itu, pihaknya telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung kejadian itu, dan menyerahkan kepada polis bagi menentukan hasil siasatan.
“MyCV mengambil berat isu keselamatan dan sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam semua acara. SOP yang khusus juga disediakan bagi setiap acara yang melibatkan orang ramai, bagi mengelakkan risiko jangkitan COVID-19 terhadap pengunjung dan pempamer.
“Susulan insiden ini, MyCV ingin mohon maaf dan akan memastikan insiden sebegini tidak akan berulang di masa hadapan. MyCV juga telah mengarahkan syarikat pengurus acara untuk mengambil langkah yang lebih ketat bagi program berkenaan, di masa hadapan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA