Piala Thomas: Denmark 3 Malaysia 2: Rasmus Gemke mn Justin Hoh 21-13, 19-21, 21-13 | Piala Thomas: Denmark 2 Malaysia 2: Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard tewas kepada Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani 21-23, 20-22 | Piala Thomas: Denmark 2 Malaysia 1: Anders Antonsen mn Leong Jun Hao 21-14, 21-10 | Piala Thomas: Denmark 1 Malaysia 1: Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen kk Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-17, 17-21, 16-21 | Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dilantik sebagai Pengerusi MKI bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 9 Mac - Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja | 

KERJASAMA WARISAN, UMNO TIDAK MUSTAHIL PADA PRN SABAH - SHAFIE

Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersalaman dengan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika tiba bagi merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Parti Warisan di Dewan Hakka hari ini.

14/12/2023 04:07 PM

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) -- Parti Warisan (Warisan) tidak menolak kemungkinan untuk menjalinkan kerjasama dengan UMNO Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata perkara itu tidak mustahil sekiranya UMNO Sabah turut mempunyai hasrat sama untuk merealisasikan kerjasama berkenaan.

"Kita (Warisan) duduk semeja dengan mereka (UMNO Sabah) berbincang untuk kepentingan wilayah Sabah dan rakyat Sabah. Bagaimana ia dapat diterjemahkan untuk dijadikan kenyataan.

"Saya nyatakan kepada (Datuk Seri) Bung (Moktar Radin) bahawa kami (Warisan) ada di sini. Kalau perlu kerjasama antara kita adalah untuk kepentingan rakyat dan wilayah Sabah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Warisan kali keenam di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kehadiran Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah ke majlis itu bersama Setiausaha UMNO negeri Datuk Jafry Ariffin dan beberapa ahli UMNO Sabah.

Lebih 3,000 perwakilan Warisan dari seluruh Sabah menghadiri perhimpunan agung itu, yang turut diadakan sebagai kesiapsiagaan parti menghadapi pilihan raya negeri.

Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang berkata penerimaan ahli akar umbi Warisan di seluruh negeri mengenai hasrat kerjasama dengan UMNO Sabah adalah positif.

Beliau berkata Warisan akan mengadakan siri jelajah sebagai persediaan menghadapi PRN, dan pihaknya sentiasa terbuka menerima kehadiran ahli UMNO Sabah dalam siri jelajah itu.

Sementara itu, Bung Moktar ketika ditemui pemberita berkata tujuan beliau menghadiri perhimpunan agung Warisan adalah untuk memenuhi undangan Mohd Shafie selaku presiden parti berkenaan.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berpendapat kehadirannya ke majlis itu bukan satu kesalahan kerana Warisan juga ialah sebahagian daripada komponen dalam kerajaan Persekutuan.

"Pertama, memenuhi undangan. Kedua, kita pun mahu mengambil ilmu politik daripada parti lain," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan kerjasama antara UMNO Sabah dengan Warisan, Bung Moktar berkata: "Kerjasama mesti mahu ada, tapi bila tidak tahulah."

Sebelum ini, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dilaporkan tidak menolak kemungkinan PRN Sabah diawalkan, walaupun tempoh tamat penggal pentadbiran kerajaan negeri sekarang adalah pada Oktober 2025.

-- BERNAMA