Liga Super: KDNFC 2-3 Sabah FC | Malaysia dan Uzbekistan boleh berganding bahu dalam sektor halal, perbankan dan teknologi makanan - PM Anwar | Malaysia dan Uzbekistan boleh bekerjasama teroka bidang pendigitalan, peralihan tenaga dan mempersiap rakyat dengan ilmu baharu berkaitan AI - PM | PM Anwar diberi sambutan rasmi di Uzbekistan | Tan Sri Mokhzani Mahathir akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Maxis Bhd berkuat kuasa 30 Jun, 2024, manakala Pengarah Datuk Hamidah Naziadin dilantik sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa 1 Julai, 2024 | 

KEPUTUSAN PRN: HANYA PETISYEN DUN GOMBAK SETIA DIKEMUKAKAN - AMIRUDIN

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (duduk, tengah) pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan Kerajaan Negeri Selangor berjumlah RM1 juta kepada Setiausaha Bahagian, Bahagian Asia Barat, Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim (duduk, kiri) bagi Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Selangor. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim (duduk, kanan).

27/10/2023 05:20 PM

SHAH ALAM, 27 Okt (Bernama) -- Hanya satu petisyen pilihan raya dikemukakan bagi membatalkan keputusan kerusi yang dimenangi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos lepas. 

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata petisyen itu dikemukakan Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang menyaksikan parti itu tewas dengan hanya 58 undi. 

Bagaimanapun, katanya tiga lagi kerusi yang direncanakan untuk dikemukakan petisyen sama sebelum ini iaitu Dengkil, Sungai Kandis dan Taman Medan tidak diteruskan.

“Saya difahamkan pihak guaman PKR merasakan kes-kes itu (tiga kerusi tersebut) tidak mahu diteruskan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Sebelum ini, PH dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan adalah rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan PH-BN kalah dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

Sementara itu, peguam pempetisyen Amin Othman ketika dihubungi Bernama memaklumkan petisyen pilihan raya DUN Gombak Setia difailkan pada 18 Sept lepas di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Beliau berkata petisyen itu difailkan seorang pengundi Mohd Shaffie Omar bagi mencabar keputusan di kerusi tersebut atas dakwaan terdapat perbuatan menyogok pemilih atau pengundi dilakukan responden, Muhamad Hilman Idham semasa PRN Selangor.

Menurutnya bicara petisyen berkenaan akan berlangsung pada 11 hingga 22 Dis ini di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Pada PRN Selangor 12 Ogos lepas, Muhamad Hilman yang memperoleh 30,299 undi menang dengan majoriti 58 undi menewaskan calon BN Datuk Megat Zulkarnain Omardin yang mendapat 30,241 undi dan calon Bebas Mohamed Salim Mohamed Ali (1,076 undi).

-- BERNAMA