Liga Super: KDNFC 2-3 Sabah FC | Malaysia dan Uzbekistan boleh berganding bahu dalam sektor halal, perbankan dan teknologi makanan - PM Anwar | Malaysia dan Uzbekistan boleh bekerjasama teroka bidang pendigitalan, peralihan tenaga dan mempersiap rakyat dengan ilmu baharu berkaitan AI - PM | PM Anwar diberi sambutan rasmi di Uzbekistan | Tan Sri Mokhzani Mahathir akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Maxis Bhd berkuat kuasa 30 Jun, 2024, manakala Pengarah Datuk Hamidah Naziadin dilantik sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa 1 Julai, 2024 | 

HAJIJI YAKIN KERJASAMA GRS, PH SABAH BAWA KEJAYAAN PADA PRN AKAN DATANG

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor (tiga, kanan) menyerahkan warta pengisytiharan tapak bangunan Mahkamah Anak Negeri kepada Ketua Daerah Tongod Jusison Saidin (dua, kanan) selepas majlis pecah tanah bangunan mahkamah berkenaan hari ini. Turut hadir Pengarah Tanah dan Ukur Sabah Datuk Sr. Bernard Liew Chau Min (kiri) dan Adun Kuamut Datuk Masiung Banah (kanan).

23/09/2023 09:17 PM

TONGOD, 23 Sept (Bernama) -- Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yakin kerjasama baik dengan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) negeri mampu membawa kejayaan kepada gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata keyakinan itu juga berdasarkan penerimaan rakyat yang meningkat terhadap Gagasan Rakyat yang merupakan parti komponen GRS.

“Kerana itu saya minta pemimpin Gagasan Rakyat di setiap bahagian supaya menyusun jentera parti dengan baik dan memastikan parti kuat sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya yakin dengan sambutan dan kejayaan kita menubuhkan ribuan cawangan dan bahagian di seluruh Sabah, ditambah kerjasama dengan rakan dalam GRS dan juga PH, insya-Allah kita akan berjaya dalam PRN akan datang," katanya pada Majlis Pelancaran Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kuamut dan Perasmian Mesyuarat Tahunan 2023 bahagian itu di Dewan Terbuka Dataran Rakyat Tongod di sini hari ini.

Hajiji berkata walaupun Gagasan Rakyat menerima sokongan baik daripada rakyat di negeri ini, parti itu masih memerlukan kerjasama rakan lain untuk mentadbir dan memajukan Sabah.

Sementara itu, beliau berkata keahlian Gagasan Rakyat, yang kini mencecah 300,000 orang di semua 73 bahagian, menunjukkan penerimaan baik rakyat di negeri ini.

Hajiji turut menjelaskan Gagasan Rakyat ditubuhkan akibat ketidaktentuan atau ketidakstabilan politik negara dan di Sabah sejak beberapa tahun lepas, dan ditubuhkan kerana memenuhi aspirasi masyarakat tempatan Sabah.

“Mereka mahu kita berjuang dalam parti tempatan seperti di Sarawak yang mengutamakan parti tempatan mereka. Tapi ini tidak bererti kita tidak mahu bekerjasama dengan parti nasional,” katanya.

Selain Gagasan Rakyat, GRS turut dianggotai Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Liberal Demokratik (LDP).

Pada majlis berasingan, Hajiji menyerahkan sejumlah 421 geran tanah anak negeri bagi pihak kerajaan negeri kepada penduduk dari 15 kampung di Tongod, melibatkan jumlah keluasan 790.37 hektar.

Kampung utama terlibat ialah Kampung Simpang Entilibon sebanyak 127 geran tanah, Kampung Imbak (94 geran), Kampung Kironggu (55 geran), Kampung Kotodon (43 geran) dan Kampung Alitang (37 geran).

Menurut Hajiji, daripada jumlah geran tanah itu, sebanyak 343 geran ialah hasil daripada Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) dan bakinya sebanyak 78 geran daripada proses permohonan tanah biasa.

Beliau turut menyerahkan Warta Tanah Rizab Kediaman Anak Negeri kepada empat kampung iaitu Kampung Tampasuk melibatkan keluasan 77.587 hektar, Kampung Imbak (7.25 hektar), Kampung Linayukan (15.831 hektar) dan Kampung Namukon (4.047 hektar).

Terdahulu, Hajiji melakukan pecah tanah projek pembinaan bangunan Mahkamah Anak Negeri (MKN) Tongod bernilai RM5,101,390 yang dimulakan pembinaan pada Jun lepas dan dijangka siap pada Disember tahun depan.

-- BERNAMA