Liga Super: KDNFC 2-3 Sabah FC | Malaysia dan Uzbekistan boleh berganding bahu dalam sektor halal, perbankan dan teknologi makanan - PM Anwar | Malaysia dan Uzbekistan boleh bekerjasama teroka bidang pendigitalan, peralihan tenaga dan mempersiap rakyat dengan ilmu baharu berkaitan AI - PM | PM Anwar diberi sambutan rasmi di Uzbekistan | Tan Sri Mokhzani Mahathir akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Maxis Bhd berkuat kuasa 30 Jun, 2024, manakala Pengarah Datuk Hamidah Naziadin dilantik sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa 1 Julai, 2024 | 

BARISAN AHLI MAJLIS MESYUARAT KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG ANGKAT SUMPAH

Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak (duduk empat, kiri) bersama isteri Toh Puan Khadijah Mohd Nor (duduk empat, kanan) bergambar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan Dan Taat Setia Serta Sumpah Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

16/08/2023 01:49 PM

GEORGE TOWN, 16 Ogos (Bernama) -- Seramai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baharu hari ini mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Pulau Pinang (TYT) Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, di sini.

Istiadat pelantikan kesemua barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu berlangsung di Dewan Sri Pinang kira-kira pukul 10 pagi.

Mereka terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung Prof Dr Mohd Abdul Hamid; ADUN Datok Keramat Jagdeep Singh Deo; ADUN Sungai Acheh Rashidi Zinol; ADUN Tanjong Bungah Zairil Khir Johari; ADUN Paya Terubong Wong Hon Wai; ADUN Sungai Pinang Lim Siew Khim; ADUN Jawi H'ng Mooi Lye; ADUN Padang Lalang Gooi Zi Sen; ADUN Perai Datuk Seri S. Sundarajoo; dan ADUN Pantai Jerejak Fahmi Zainol.

Lapan daripada senarai itu adalah muka baharu yang terdiri daripada Prof Dr Mohd Abdul Hamid, Rashidi Zinol, Wong Hon Wai, Lim Siew Khim, H'ng Mooi Lye, Gooi Zi Sen, S.Sundarajoo dan Fahmi Zainol, manakala dua yang kembali dilantik ialah Jagdeep Singh Deo dan Zairil Khir Johari.

Rashidi Zinol adalah wakil tunggal daripada Barisan Nasional dan Lim Siew Khim pula wakil tunggal wanita.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang Sabtu lepas gabungan PH-BN memenangi 29 kerusi manakala PN menang 11 kerusi, dan ia disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang Chow Kon Yeow sebagai Ketua Menteri.

Dalam satu sidang media, Chow mengumumkan beliau akan memegang portfolio Kewangan, Pembangunan Ekonomi dan Tanah dan Komunikasi; manakala Timbalan Ketua Menteri 1 Prof Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid bertanggungjawab ke atas portfolio Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat; dan Timbalan Ketua Menteri 2 Jagdeep Singh Deo memegang portfolio Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi.

Rashidi Zainol dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar; Zairil Khir Johari sebagai Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital; dan Wong Hon Wai sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif.

Sementara itu Lim Siew Khim, wakil tunggal wanita, dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam; H'ng Mooi Lye sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa; dan Gooi Zi Sen sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan.

Seterusnya Datuk Seri S. Sundarajoo dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar; dan Fahmi Zainol sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi.

"Pelantikan semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri ini telah mendapat restu dari kepimpinan pusat parti, dan kita juga akan mencadangkan supaya jawatan Timbalan Speaker DUN diperuntukkan kepada wakil daripada parti Amanah," kata Chow.

-- BERNAMA