Liga Super: KDNFC 2-3 Sabah FC | Malaysia dan Uzbekistan boleh berganding bahu dalam sektor halal, perbankan dan teknologi makanan - PM Anwar | Malaysia dan Uzbekistan boleh bekerjasama teroka bidang pendigitalan, peralihan tenaga dan mempersiap rakyat dengan ilmu baharu berkaitan AI - PM | PM Anwar diberi sambutan rasmi di Uzbekistan | Tan Sri Mokhzani Mahathir akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Maxis Bhd berkuat kuasa 30 Jun, 2024, manakala Pengarah Datuk Hamidah Naziadin dilantik sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa 1 Julai, 2024 | 

PASCA PRN: TIGA NEGERI SELESAI LANTIK MB, KM 

Gambar fail

14/08/2023 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang dibuka secara rasmi 29 Julai lepas, menutup tirai pada Sabtu selepas proses pengundian berakhir.

Tumpuan utama pasca PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang kini adalah pemilihan Menteri Besar dan Ketua Menteri yang akan bertanggungjawab mencorakkan pentadbiran negeri bersama-sama dengan barisan Exco seterusnya melengkapkan fungsi eksekutif. 

Bagi Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang menyaksikan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN) mendapat mandat, pelantikan Ketua Menteri dan Menteri Besar telah selesai, begitu juga dengan Kedah yang berada di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ketiga-tiga negeri itu mengekalkan wajah sama untuk mentadbir negeri masing-masing. 

Istiadat angkat sumpah Menteri Besar Kelantan pula dijadualkan esok, manakala di Terengganu masih menjadi tanda tanya, sementara bagi Selangor ia ditangguhkan sehingga Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali ke tanah air dari London, United Kingdom. 

Pulau Pinang menjadi negeri pertama 'menyempurnakan' pelantikan Ketua Menteri apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota Chow Kon Yeow, 65, mengangkat sumpah jawatan bagi penggal kedua di Seri Mutiara, George Town semalam. 

Pengerusi PH Pulau Pinang itu akan mengetuai kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun setelah gabungan PH-BN memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Sabtu lepas manakala PN memperoleh 11 kerusi.

Sementara itu upacara angkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Negeri Sembilan pada 4.15 petang menamatkan teka-teki mengenai siapakah Menteri Besar di negeri itu selepas gabungan PH-BN memenangi 31 daripada keseluruhan 36 kerusi DUN dan PN lima kerusi.

ADUN Sikamat Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan, meskipun pada awalnya nama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias turut disebut-sebut akan mengisi jawatan itu.

Terdahulu, ADUN Jeneri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik semula sebagai Menteri Besar Kedah dan mengangkat sumpah jawatan pagi tadi selepas PN memperoleh 33 daripada 36 kerusi DUN manakala PH menang tiga kerusi.

Muhammad Sanusi, 49, yang juga Pengerusi PN Kedah mula dilantik ke jawatan berkenaan pada 17 Mei 2020.

Persoalan siapakah Menteri Besar Kelantan hanya akan terjawab esok selepas Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Jumaat memaklumkan parti berkenaan bakal menampilkan gabungan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar yang baharu.

Ini bermakna Pengerusi PN Kelantan Datuk Ahmad Yakob terpaksa melepaskan jawatan Menteri Besar yang disandang sejak 2013.

PAS berjaya membentuk kerajaan negeri, selepas menang 43 daripada 45 kerusi DUN pada PRN Sabtu lalu. 

Bagi Selangor pula, Pengerusi PH negeri itu Datuk Seri Amirudin Shari sebelum ini dinamakan akan terus menjadi Menteri Besar jika PH mendapat mandat di negeri dan pada PRN Sabtu lepas, gabungan PH-BN memperoleh 34 kerusi daripada 56 kerusi DUN manakala PN 22 kerusi.

Pada 18 Julai lepas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan Perpaduan akan mengekalkan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan PH-BN menang di dalam PRN. 

Setakat 6 petang, tiada sebarang maklumat mengenai majlis angkat sumpah pelantikan Menteri Besar Terengganu selepas PAS menyapu bersih semua 32 kerusi DUN namun Takiyuddin pada Jumaat menyatakan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dikekalkan.

-- BERNAMA